Monday, December 7, 2009

Ipoh mali....

menikmati juadah diLamaNyaman

(Klik ke Laman Utama / Click to Front Page)

Walaupun baru berbual seketika melalui telefon semasa membuat tempahan bilik, dapat dirasakan keramahannya.

Tuan Hj. Rahman bin Mokhtar, peguam dari Ipoh, punya ayat-ayat yang petah setanding dengan kerjayanya. Perbualan itu menimbulkan rasa mesra bagai sahabat yang telah lama terpisah. Sebab itulah, sesampai sahaja di WKH, kami bukan sahaja berjabat tangan malah berpelukan. Mesra dan ceria.

Kedatangannya bersama isteri, Pn. Hjh. Lasidah serta anak-anak, Nurul Nadia dan Fatin Aqilah memeriahkan WKH.

Penginapan di WKH dari 5-7 Disember 2009 dan percutian mereka di KT diharap bermakna dan meninggalkan nostalgia yang berpanjangan. Moga tempat wisata yang kami syorkan memuaskan hati.

Banyak pengalaman dan ilmu baru mengenai kereta dan pelbagai perkara diperolehi dari tetamu yang ramah ini.


Keropok lekor dan teh pengalas perut sambil berbual mengenai pelbagai isu dan perkara. Moga kemesraan ini berterusan.

berkunjung lagi ke WKH ya..?

Catatan dalam Buku Tetamu WKH berbunyi:

"Ribuan terima kasih atas budi dan jasa baik Tuan Habib & keluarga kepada kami selama kami di sini sehingga cuti kami sangat istimewa."

WKH:
Sesungguhnya kehadiran Tuan sekeluarga juga menjadikan WKH ini istimewa.


Sunday, November 1, 2009

From Russia with Love...


Makarov Sergey dan Krasnov Roman, tetamu dari Russia..

Assalamualaikum...

Tak sangka dua orang warganegara Russia ini akan menjadi tetamu WKH selama 2 hari 1 malam.( 31 Oktober - 1 November 2009)
Of all the places....dari Russia.

Mereka adalah ahli rombongan agensi pelancongan dari Moscow. Kedatangan mereka adalah untuk meninjau peluang mengadakan pakej pelancongan dengan Homestay Teluk Ketapang (HTK).

WKH menerima Mr. Krasnov Roman dan Mr. Makarov Sergey. Kedua-duanya dari Moscow. Walaupun penguasaan Bahasa Inggeris mereka agak terhad, kami cuba berhubungan dengan bahasa isyarat dan gesture.

Selesai majlis, mereka dihidangkan dengan pelbagai kuih muih Melayu Terengganu serta pertunjukan kraf tradisi Terengganu. Demonstrasi lukisan batik lukis (canting), menyirat jala, melukis inai, permainan congkak, sepak raga bulat dan kraf lidi kelapa menarik perhatian mereka.

Acara kemuncak ialah upacara bersanding olok-olok yang sangat memikat ahli rombongan dari Russia ini. Apatah lagi apabila diberi peluang untuk merenjis air mawar serta dihadiahkan dengan bunga telur.

Roman dan Sergey yang menjadi 'anak angkat' WKH terpegun dengan kemajuan dan keindahan sekitar KT.

Walaupun penguasaan BI mereka agak terhad, mereka menyatakan bahawa taraf kehidupan di sini jauh lebih baik dari di Russia. Pengalaman selama 2 hari bersama warga Russia amat berharga.

Pertemuan dan perkenalan yang singkat dengan tetamu dari negara bekas USSR ini memberi banyak pengajaran kepada kami. Erti kehidupan menjadi lebih bermakna. Moga kita bertambah kesyukuran bila membandingkan kehidupan di negara kita dengan negara mereka.

Susah payah kehidupan di bawah pemerintahan Russian Federation tidak diperlihatkan oleh kedua tetamu WKH ini. Mereka tetap kelihatan ceria dan puas. Di dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu.

Namun sepatah kata Roman, " I always happy".

Mencuba roti canai dan teh tarik dan diberikan cenderamata lukisan batik canting.Sebelum berangkat pulang diberi kesempatan menanam pokok di pantai Teluk Ketapang.
Bacaan lanjut di sini.
WKH:
Moga mereka akan membawa lebih ramai orang Russia ke WKH.

Friday, September 25, 2009

Dari Klang berHari Raya di WKH...


Tn. Hj. Zulkafli Zakaria dan Pn Hjh. Azizan
dengan juadah HRAF di WKH

Assalamualaikum...

Tak sangka tetamu kami yang ini sudi untuk menginap di WKH selama 9 hari mulai 17 - 25 September 2009. Kepulangan mereka adalah sempena Ramadhan dan HRAF. Oleh kerana rumah keluarga agak terhad bilik dan kelengkapan, mereka mengambil keputusan untuk menginap di WKH sepanjang HRAF tahun ini.

Tempahannya dan perbincangan melalui telefon beberapa bulan sebelum ini mengujakan kami di WKH. Hasratnya untuk menginap lebih dari seminggu menyebabkan kami terpaksa memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Meja makan, peti sejuk dan kelengkapan dapur kami sediakan khas untuk tetamu dari Klang ini. Bulan Ramadhan dan sambutan HRAF di sini tentu sahaja berbeza dari rumah sendiri. Namun, kami amat berharap agar Tn. Hj. suami isteri serta anak-anak, Mohd. Hariz dan Izzazi serta menantu Siti Adawiyah tidak akan rasa terkilan menyambut HRAF di WKH kali ini.

Keceriaan bersama keluarga bahagia ini membuatkan kami rasa bagaikan ahli keluarga sendiri. Keramahan dan kemesraan amat jelas. Malah mereka menjadikan WKH bagai rumah sendiri, mencuci, mengemas serta memastikan 9 hari di sini terisi dengan baik.


Kami di WKH sebenarnya tidak pernah menyangka akan menerima tetamu yang tinggal lama begini melainkan tetamu sebelum ini dari dari USA , Alycin Hayes, yang menginap selama 7 hari kerana Pertandingan WEC. Baca di sini.

Kehadiran keluarga ini menceriakan sambutan HRAF kami di WKH. Kami amat berharap pertemuan dan perkenalan ini tidak putus hingga di sini sahaja, malah akan berterusan sehingga ke akhir hayat.


Lihatlah betapa cerianya anak menantu Tn. Hj. Zul menangkap guppy, Albert si kura-kura dan memberi koi makan. Moga mereka pulang dengan hati yang senang dan terus bahagia.

Terima kasih pada Tn. Hj. Zul atas catatan di Buku Tetamu WKH yang berbunyi:

Terima kasih kami ucapakan daripada Hj. Zul dan famili, yang tak terhingga atas layanan baik, kemudahan yang disediakan keselesaan kami sekeluarga. Tempat yang selesa. Budi yang baik sentiasa dikenang dan terima kasih atas layanan istimewa untuk kami semua. Semoga hubungan yang terjalin ini berkekalan. Amin.
SHRA MZdanB

Terima kasih juga buat Tn. Hj. Zul sefamili.
WKH:
Jika ada kelapangan silalah berkunjung lagi. Moga silaturrahim berkekalan.m

Saturday, November 22, 2008

Teman blog menjejaki Rusila....


Koi dan Albert sedang divideokan oleh Ila
Assalamualaikum...
Sudah beberapa tahun kami mengenali antara satu sama lain. Banyak cerita yang dipaparkan melalui blognya di sini.
Bila dimaklumkan bahawa kami ada tempat penginapan yang sesuai untuk dia sefamili, dia mula merancang perjalanan ke sini.
Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan.
Pada 22 Nov. 2008 dia dan famili datang ke Kuala Terengganu selama 3H2M. Inilah kali pertama mereka ke sini dan disambut dengan hujan yang amat lebat di sepanjang perjalanan.
Oleh itu, jika ingin ke KT dalam bulan November bersedialah dengan payung dan baju hujan.
Walaupun lewat sampai tetapi semuanya selamat dan sihat.
Bersama suami, Mohd Yusri bin Bahari serta dua anak comel Hasya, Siti Rusilah bt Mohd. Nasir (Ila) dapat juga menjejakkan kaki ke WKH dan bertemu PakBeib dan KakWan.

bersarapan dan berbual mesra

banyak yang diceritakan perihal Teluk Panglima Garang, Kelang dan hal-hal yang berkaitan dengan politik terkini.

anak-anak dengan Albert, si kura-kura. Ayah dan Ibu asyik berbincang ke mana pula selepas ini.

Saat perpisahan, cenderamata dihulurkan. Famili ini kemudiannya dibawa membeli belah di pusat tudung tersohor di KT dan ke tempat membuat keropok di Manir.
Perjalanan pulang mereka akan melalui tempat yang ingin Siti Rusilah singgah iaitu RUSILA.
Kenapa?
Kerana namanya.
Setelah 2 hari mereka di sini, hampir semua tempat menarik di sekitar KT dilawati termasuklah TTI, Masjid Terapung dan Pasar Payang.

WKH:
Semoga persahabatan berkekalan dan berbahagia sefamili. Jangan lupa kembali lagi ke WKH.

Monday, October 27, 2008

...dari USM


Dr. Fatan Hamamah dan Zurina dari USM, PP

Assalamualaikum...
Tetamu ini memerlukan sebuah bilik yang selesa berdekatan lokasi seminar yang akan mereka hadiri.
Melalui internet dia ketemu WKH. Tempahan dibuat untuk 25-27 Okt. 2008 (3H2M). Kami berikan yang terbaik untuk mereka. Malah kami hantar mereka ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk penerbangan pulang ke P.Pinang tanpa bayaran tambahan.
Apa lagi kata mereka?
"We had a pleasant stay..."
Terima kasih Dr. Fatan Hamamah dan Zarina Mohd. Radzi dari School of Distance Education, USM yang sudi menjadi tetamu WKH.
Sila berkunjung lagi. WKH sedia memberi perkhidmatan yang terbaik semampu kami.

WKH:
Teringat USM yang ditinggalkan 19 tahun yang lalu. Ada masa, kami akan kunjungi nanti.

Monday, October 20, 2008

Dari Florida ke Pertandingan Kuda...menginap di WKH


Alycin Hayes tetamu dari Florida

Assalamualaikum...
Kami menerima pertanyaan dan tempahan darinya melalui emel - lihat sini. Setelah beberapa kali berutus emel, dia menyatakan persetujuan untuk menginap di WKH selama lebih kurang 3 minggu.
Kami sangat teruja.
Oleh kerana tempoh penginapannya lama, kami telah memberi sedikit diskaun untuk tetamu dari Florida, USA ini.
Kedatangannya ke sini ialah kerana terlibat dengan FEI World Endurance Championship 2008 yang akan berlangsung dari 5-9 November 2008, di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu.
Alycin Hayes, seorang percussionist, telah menjelajah banyak tempat di seluruh dunia untuk memperkenalkan Inner Rhythm Healing.
Kedatangannya yang kebetulan bersempena Hari Raya Aidil Fitri memberikan pengalaman baru kepadanya menghadiri rumah terbuka ala Malaysia .(lihat di sini)
Oleh kerana disediakan tempat penginapan oleh pihak penganjur FEI WEC di saat-saat akhir, Alycin hanya tinggal bersama kami selama seminggu (17 - 23 Oktober 2008).
Pengalaman bersamanya menjadi tetamu memberikan kami keyakinan untuk memperbaiki perkhidmatan terbaik kepada semua tetamu kami.

WKH:
Menanti ramai lagi tetamu dari luar negara untuk diperkenalkan dengan budaya dan cara hidup orang Terengganu.

Monday, August 25, 2008

Tetamu cilik dari Jepun


(Klik ke Laman Utama / Click to Front Page)

Assalamualaikum...

Tetamu cilik kali ini ialah Misaki Yamamoto, berasal dari Ikebata, Kanazawacho, Toyokawa City, Aichi Prefecture.
Beliau tinggal bersama kami di WKH selama 5 hari 4 malam (21-25 Ogos 2008).
Misaki yang boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan agak baik memudahkan komunikasi.
Dalam sekejab masa sahaja Misaki diterima baik oleh ahli keluarga kami.
Selain dari membawa dia melawat Pasar Malam di Pak Tuyu, kami
juga bawa dia membeli belah di Kedai Pasar Payang, menaiki bot Seberang Takir, melawat TTI dan berpiknik di Pantai Teluk Ketapang.
Makanan tidak menjadi hak kerana semuanya boleh dimakan. Selama 5 hari di WKH dia merupakan sebahagian dari ahli keluarga kami.

Kemesraan terserlah bersama si cilik dari Jepun ini.
Boleh baca mengenai kehidupannya bersama kami di sini

WKH:
Moga dia akan membawa berita menarik mengenai WKH ke Jepun.

Friday, August 22, 2008

Azuan dan Anis dari Bandar Tun Razak ke WKH

(Klik ke Laman Utama / Click to Front Page)

PakBeib bersama 3 orang anak-anak dari BTR
Assalamualaikum....
Famili dari Bandar Tun Razak, KL seramai 6 orang ini sudah lama ingin melawat Terengganu. Kesempatan ini juga diambil untuk merasai pengalaman menginap di homestay. Pencarian homestay melalui Google menemukan mereka dengan WKH.
Lantaran itu Pn. Anis dan En. Azuan menghubungi kami. Tarikh yang dipilih untuk menginap di WKH ialah pada 16-18 Ogos (3H2M).
Kehadiran mereka menyerikan lagi WKH, apatah lagi dengan 3 orang anak mereka yang comel.
Melawat pelbagai lokasi menarik serta membeli-belah di sekitar KT merupakan aktiviti famili ini yang memenatkan.
Sebagaimana biasa LamanNyaman merupakan tempat santai kami.
Hidangan keropok lekor adalah seolah-olah wajib bagi tetamu WKH. Kami amat berharap agar layanan kami memuaskan hati semua tetamu kami.
Bersantai dengan famili Azuan dan Anis

Sambil minum sambil berbual

KakWan dan 3 anak kecil Azuan dan AnisAzuan bersama anak-anak dan PakBeib

Anis diberikan cenderamata oleh WKH
WKH:
Melayan anak-anak kecil bagai anak sendiri.
Yang pasti ramai di antara mereka yang ingin terus berada di WKH.
Kirimlah berita pada kami di sini (WKH)

Wednesday, August 20, 2008

Ustaz Zamri IKIM fm pun menginap di sini...



Assalamualaikum...

minum pagi di LamanNyaman bersama Ust. Zamri sefamili

Bila sahaja KakWan menerima panggilan telefon dari Ustaz Zamri, dia sangat teruja. Apa tidaknya, penyampai radio IKIM fm nak datang menginap di WKH. Tambahan pula penyampai ini merupakan yang digemarinya. Hampir setiap pagi saluran inilah yang didengarnya dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ustaz Zamri dan famili akan berada di WKH selama 4 hari (18-21 Ogos). Tugas beliau sebenarnya ialah sebagai penyampai sempena Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke 50 yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.(baca sini)

Keramahan Ustz Zamri terserlah

Kami berharap agar Ustaz Zamri Zainal Abidin, isteri beliau Norasmahan Ab. Kadir serta anak-anak, Nafisah, Halimah, Zafir, Sumayyah, Fadilah serta bibik gembira dan selesa menginap di sini.

WKH: Gembira dapat bersua dengan selebriti seperti Ustaz Zamri.Moga bertandang lagi ke WKH.

Thursday, August 7, 2008

Austria-Malaysia Ceria

Peter dan Gabi dengan air gelas besar
Assalamualaikum / Good Day.....
Setelah sekian lama menanti dan saling berutus e mel akhirnya kenalan internet WKH selamat sampai di Malaysia, Terengganu dan Gong Badak (WKH).
Jam 9 malam kami seisi keluarga telah menanti mereka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.
Pada siangnya kami cuba hubungi MAS untuk mendapat kesahihan mengenai penerbangan mereka berdua tapi nama mereka tiada dalam pangkalan data penumpang. Kami cuba hubungi Airasia, gagal kerana telefon tidak dijawab. Oleh itu, kami cuma tawakkal dan berharap mereka akan sampai di LTSM pada malamnya sebagaimana yang diberitahu oleh Gabi .
Sesampainya di hadapan pintu Balai Ketibaan, ternampak akan wajah yang dikenali berdasarkan foto dalam e mel.
Gabi dan Peter dah betul-betul sampai. Mereka terkejut bila mendapati kami sefamili menanti mereka kerana cadangan mereka ialah untuk menaiki teksi sahaja ke WKH.
Di tangan Gabi ialah salinan entry blog dan alamat rumah kami untuk rujukan mereka dan pemandu teksi. Bersungguh nampaknya mereka mengheret 2 buah beg pakaian yang sarat.
Setelah bersalaman dan bertanya khabar, mereka dibawa ke kereta untuk ke WKH.
Oleh kerana dahaga, kami terus membawa mereka menikmati Air Gelas Besar Piyor yang masyhur di Seberang Takir, KT.
Sambil minum kami bertanya khabar dan mengalu-alukan kehadiran mereka yang pertama kali ke Malaysia. Kami amat berharap Terengganu akan meninggalkan kenangan yang manis buat mereka nanti.
Kehadiran mereka dari 5 - 7 Ogos untuk selama 3 hari 2 malam juga memberi seribu makna kepada WKH.
Sepanjang mereka di sini beberapa tempat menarik telah mereka lawati seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Payang, tempat pembuatan bot Custom Made Wooden Yatch Hj. Abdullah bin Muda, Pulau Duyong Besar, bengkel batik dan tembaga Wanisma Kampung Ladang, Pantai Merang dan beberapa lokasi menarik yang lain di sekitar KT.
Peter dan Gabi tekun mendengar perihal sirih dan bunga melur (Jasmine) yang ada di Laman Nyaman. Peter bercadang nak bawa balik anak sirih tetapi akhirnya dia mengambil dua biji durian untuk cuba ditanam di Austria. Katanya kalau menjadi, ini merupakan durian yang pertama dari Terengganu yang tumbuh di Austria. Kami ketawa besar.

Bersantai di Laman Nyaman, Peter bermain congkak dan selambut denganAdeq. Baginya inilah peluang mempraktikan ilmu matematik yang diajarnya di sebuah sekolah di Melk, Austria. Menurut Peter permainan ini menarik kerana aplikasi matematik dan strategi perlawanan yang unik.
Menikmati buah rambutan, langsatduku, asam jawa dan keropok. Semua dimakan oleh pasangan ini. Yang paling disukai oleh Peter tentulah keropok lekor.

Gabi menerima cenderamata WKH dari KakWan selepas supper di Laman Nyaman
Gabi terharu dengan layanan yang diberikan oleh WKH. Mereka berdua berharap akan dapat ke sini lagi di lain masa dan mahukan kami berkunjung ke Austria.
WKH: Kalau ada rezeki kami pun nak ke Melk, Austria berkunjung ke kampung Gabi dan Peter.
Thanks Peter and Gabi for the wonderful time with us. Hope our friendship will be cherished forever.